Blog Cikgu Afida

Sunday 28 October 2012

Karangan jenis peribahasa



KARANGAN JENIS PERIBAHASA 

CONTOH -KARANGAN PERIBAHASA(TEKNIK CERITA)

SOALAN:Tuliskan sebuah cerita berdasarkan peribahasa ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.

              Haizam seorang anak yatim. Bapanya meninggal dunia semasa dia berusia 10 tahun. Ibunya, Puan Mina pula lumpuh sebahagian daripada tubuhnya akibat diserang angin ahmar kira-kira dua tahun yang lalu.Haizam mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Najwa Amira.Adiknya berumur sembilan tahun. Lantaran kemiskinan dia terpaksa berhenti sekolah semasa berada dalam tingkatan empat walaupun mendapat tentangan daripada ibunya.

              Berbekalkan sedikit wang simpanan arwah ayahnya, dia mula berniaga secara kecil-kecilan. Pada mulanya dia menjual air di tepi jalan besar berdekatan dengan rumahnya tetapi kurang mendapat sambutan.Namun, dia tidak berputus asa. Dia mencuba pula menjual buah-buahan yang diambilnya daripada Pak Karim, seorang peraih buah di kampungnya.Malangnya keuntungan yang diperolehnya tidak setimpal dengan usaha yang telah dilakukannya.

              Haizam sering termenung memikirkan masa depannya. Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan di di bandar yang terletak berhampiran dengan kampungnya. Dia kemudiannya diterima sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran yang terkenal di bandar itu. Oleh sebab kerajinannya, dia telah dinaikkan pangkat sebagai pelayan di restoran tersebut.

               Kini, sudah hampir lima tahun dia bekerja di restoran itu. Dia begitu gembira bekerja di situ kerana majikannya seorang yang bertimbang rasa, pemurah dan tidak lokek berkongsi ilmu dengannya.Dia juga telah belajar memasak masakan Timur dan juga Barat daripada chef masakan di situ. Banyak pengalaman yang ditimbanya semasa bekerja di situ. Bagi menjamin masa depannya, pada setiap bulan dia akan menyimpan sebahagian daripada pendapatan yang diterimanya ke dalam bank.Dia juga bercita-cita untuk memiliki restorannya sendiri suatu hari nanti.

               Berbekalkan pengalaman dan juga wang simpanan yang dia miliki, dia telah mengusahakan sebuah gerai makanan menjual lauk-pauk secara kecil-kecilan. Oleh sebab makanan yang disediakan begitu sedap sekali, gerainya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelanggan.Dari sebuah gerai yang kecil, dia telah menyewa sebuah bangunan untuk dijadikan restoran. Akhirnya, perniagaannya telah berkembang maju dan dia telah membuka beberapa cawangan di sekitar bandar tersebut.

              Bak kata pepatah Melayu ’Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.Begitulah apa yang berlaku dalam kehidupan Haizam, daripada seorang pemuda yang tiada berharta,kini mempunyai kemewahan yang dicapainya melalui usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa. 



............................................................................................. 


Penulisan jenis peribahasa
Peribahasa "Bagai Aur Dengan Tebing" bermaksud tolong-menolong di antara satu sama lain. Seumpama serumpun aur di tebing. Aur menumpang pada tebing untuk mendapatkan air, manakala tebing pula memerlukan aur supaya tebing tidak mudah terhakis.

Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya. Oleh itu, manusia harus hidup bekerjasama dan saling bantu-membantu seperti aur dengan tebing. Hidup begini dikatakan sepakat dan menjadikan sesuatu kerja itu lebih mudah dan cepat disiapkan.

Semangat kerjasama dan gotong-royong sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar dalam segala lapangan kehidupan. Sebagai contoh, mereka bercucuk tanam dan menuai hasil tanaman mereka secara bergotong-royong. Begitu juga jika ada majlis perkahwinan, lazimnya orang kampung akan bergotong-royong untuk menjayakan majlis tersebut. Bahkan sesetengah tempat, orang kampung membina masjid secara bergotong-royong.

Peribahasa ini juga ada persamaan maksud dengan peribahasa “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, dan “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama digigit”.

Kesimpulannya, peribahasa ini amat baik untuk diteladani bersama terutama oleh masyarakat di bandar serta generasi muda kerana semangat bekerjasama ini semakin kurang diamalkan oleh mereka.
_______________________________________________

Senaraikan isi-isi penting yang terdapat dalam karangan di atas.
1. “Bagai Aur Dengan Tebing” bermaksud tolong-menolong.
2. Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya.
3. Bekerjasama dan saling bantu-membantu akan memudah dan mempercepatkan kerja.
4. Nilai ini sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar.
5. Harus diteladani terutama oleh masyarakat di bandar serta generasi muda.






KARANGAN JENIS SURAT KIRIMAN RASMI







KARANGAN JENIS SURAT KIRIMAN RASMI

Soalan :
Kamu terbaca iklan tentang penerbitan baru beberapa buah buku cerita dalam surat khabar. Tuliskan sepucuk surat kepada pengurus pemasaran untuk memesan buku-buku tersebut.

Contoh Jawapan :

Kampung Tanjung Alir,
22000, Jerteh,
Terengganu.
_____________________________________________________________________________
Pengurus Pemasaran,
Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,
64 & 66, Jalan Pingai,
80400, Johor Bahru.                                                            14 OKTOBER 1998

Tuan,
Memesan Buku
Merujuk kepada perkara di atas, saya Ummu Atiyah Bt. Abd. Fatah telah terbaca iklan dalam akhbar tentang beberapa buah buku cerita terbitan syarikat tuan.
2.     Sehubungan itu, saya ingin memesan beberapa buah buku cerita tersebut seperti berikut :
   
     Bil.     Judul Buku                                  Kuantiti                   Harga Seunit
      1.      Misteri Kapal Tenggelam                 1                          RM 3.60
      2.      Misteri Patung George                    1                          RM 3.60
      3.      Rahsia Rumah Tua                         2                          RM 4.00  
                                                                Jumlah                     RM 11.20  
3.     Sehubungan dengan itu, saya sertakan kiriman wang pos bernombor 107 yang bernilai RM 11.20. Saya berharap agar pihak tuan dapat menyegerakan hantaran buku tersebut. Kerjasama daripada pihak tuan amat saya hargai.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
( UMMU ATIYAH BT. ABD. FATAH )
 .................................................................................................................................................................
 CONTOH 2

Sebagai Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu, kamu dikehendaki menulis sepucuk surat kepada Guru Besar untuk memohon kebenaran mengadakan lawatan ke pameran buku.

(contoh jawapan)

Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Darau,
22000, Jerteh,
Terengganu.
________________________________________________________________
Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Darau,
22000, Jerteh,
Terengganu.                                                                            15 OKTOBER 1998             

Tuan,

Memohon Kebenaran Membuat Lawatan
Dengan segala hormatnya di maklumkan bahawa Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Darau akan mengadakan lawatan ke pameran buku yang bertempat di Kampung Raja, Besut.
2.     Surat kebenaran ibu bapa telah diedarkan  dan sudah pun  mendapat jawapannya. Sehubungan dengan itu, kami ingin memohon kebenaran daripada tuan untuk ke pameran tersebut.
 
  Untuk makluman tuan, berikut adalah butir-butir lawatan kami :
                        Tarikh : 17.10.1998
                        Masa   : 10.00 pagi
                        Ahli     : 21 orang termasuk 2 guru pengiring                                         
Kerjasama daripada tuan amat kami hargai.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,
( NORAINI BT. IBRAHIM )
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu.
.............................................................................................................................
CONTOH 3
             
Andaikan bahawa anda diserang demam panas. Anda tidak dapat hadir ke sekolah selama dua hari. Tuliskan sepucuk surat kepada guru kelas anda untuk memberitahunya keadaan anda.

CONTOH JAWAPAN
 
Kampung Awek,
22000, Jerteh,
Terengganu.
________________________________________________________________
Guru kelas,
Tahun 6 kenanga,
Sekolah Kebangsaan Darau,
22000, Jerteh,
Terengganu.                                                                           20 OKTOBER  1998              

Cikgu,

Tidak Dapat Hadir Ke Sekolah

Berhubung dengan perkara di atas, saya Habibah Bt. Ghazali murid Tahun 6 Kenanga ingin memaklumkan bahawa saya tidak hadir ke sekolah kerana diserang demam panas.  

2.     Saya telah pun mendapatkan rawatan doktor di salah sebuah klinik. Doktor menasihatkan saya supaya berehat selama dua hari.

3.     Bersama-sama surat ini, saya sertakan surat akuan doktor untuk makluman dan tindakan cikgu. Saya berharap agar cepat sembuh dan dapat datang semula ke sekolah seperti biasa.  
Atas perhatian dan kerjasama cikgu, saya dahului dengan ucapan

terima kasih.        

Sekian.

Yang benar,
( HABIBAH BT. GHAZALI ) 
............................................................................................................................
CONTOH 3
 
Kelab Sains sekolah anda akan mengadakan  lawatan ke Stesen Penyiaran TV3 di Sri Pentas. Tuliskan sepucuk surat kepada pengarah stesen tersebut untuk memohon kebenaran.

CONTOH JAWAPAN
 
Kelab Sains,
Sekolah Kebangsaan Darau,
22000, Jerteh,
Terengganu.
________________________________________________________________
Pengarah,
Stesen Penyiaran TV3,
Sri Pentas,
50164 Kuala Lumpur.                                                                18 OKTOBER 1998

Tuan,                                                   

Memohon Kebenaran Melawat Stesen Penyiaran TV3

Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa Kelab Sains Sekolah Kebangsaan Darau akan mengadakan lawatan ke Stesen Penyiaran TV3 di Sri Pentas.                  

2.     Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan serta pengetahuan kepada murid-murid tentang cara-cara penerbitan dan penyiaran rancangan-rancangan di TV3.Tambahan pula televisyen merupakan satu alat komunikasi yang banyak memberi pengetahuan kepada murid-murid.
    
3.     Untuk makluman tuan, berikut adalah butir-butir lawatan kami :                      
                          Tarikh : 25.11.1998
                          Masa  : 10.30 pagi
                          Ahli     : 39 orang termasuk 4 guru pengiring                                    
4.     Kami amat berbesar hati sekiranya tuan dapat memberikan jawapan dengan segera. Kerjasama daripada pihak tuan kami dahului dengan ribuan terima kasih.       
Sekian.                            

Yang menjalankan tugas,           
(UMMU ATIYAH BT. ABD. FATAH)
Setiausaha,
Kelab Sains.    
 ............................................................................................................................................................
CONTOH 4

Sebuah buku yang kamu pinjam dari perpustakaan sekolah telah hilang. Tuliskan sepucuk surat kepada guru perpustakaan untuk menerangkan sebab-sebab kamu tidak boleh memulangkan buku tersebut.

CONTOH JAWAPAN
 

No.76, Kampung Darau,
22000, Jerteh,
Terengganu.
________________________________________________________________
Guru Perpustakaan,
Sekolah Kebangsaan Darau,
22000, Jerteh,
Terengganu.                                                                             17 OKtOBER 1998
                     
Cikgu,

Buku Hilang
Merujuk kepada perkara di atas, saya Khushaima bt. Khairuddin murid Tahun 6 Kenanga ingin memaklumkan bahawa buku yang saya pinjam pada 14 Oktober 1998 telah hilang. 
   
2.     Buku tersebut berjudul ‘Menanti Hari Esok’ karya Naimah Haji Hassan. Saya meminjam buku tersebut pada waktu rehat. Selepas itu, saya pergi makan di kantin. Setelah selesai makan, barulah saya sedar buku yang saya letak di atas bangku telah hilang. 
       
3.     Saya akui kehilangan buku itu berpunca daripada kecuaian diri saya sendiri. Saya memohon maaf dan berjanji akan membayar ganti rugi atas kehilangan buku
tersebut.

Sekian untuk makluman cikgu. Terima kasih.

Yang benar,
(KHUSHAIMA BT. KHAIRUDIN)